SUNGAI PETANI 14 Ogos 2017 - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Puteri Jaya menjadi sekolah menengah pertama di negeri ini yang menerima penarafan sekolah pembelajaran abad ke-21 (PAK-21) empat bintang daripada Sekretariat Utusan Pelajar dengan kerjasama Kementerian Pendidikan.
Penolong Pengurus Pendidikan Utusan Melayu, Fauzi Hamdan berkata, sekolah menengah tersebut layak menerima penarafan empat bintang kerana berjaya memenuhi kriteria yang ditetapkan Sekretariat Utusan Pelajar.
“Antara kriteria proses penarafan ialah melaksanakan aktiviti PAK-21 semasa perhimpunan mingguan, inisiatif dan kreativiti menampal poster PAK-21 yang dibekalkan serta kreativiti mengurus bahan berkala Utusan Pelajar di pusat sumber sekolah, mengaplikasikan Utusan Pelajar di dalam kelas.
“SMK Bandar Puteri Jaya juga telah memenuhi kriteria ditetapkan seperti menampal poster PAK-21 di pusat sumber dan melaksanakan Modul 10 minit dalam perhimpunan mingguan,” katanya selepas Majlis Penyerahan Sijil Penarafan Bintang Utusan Pelajar kepada Pengetua SMK Bandar Puteri Jaya sekolah itu, Osman Omar di sini hari ini.
Terdahulu, Fauzi berkata, sebanyak 300 buah sekolah rendah dan menengah di seluruh negara setakat ini telah melanggan akhbar Tutor dan Utusan Pelajar dan hanya sekolah yang memenuhi kriteria yang ditetapkan pihak sekretariat layak untuk mendapat sijil penarafan bintang.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/pendidikan/sekolah/smk-bandar-puteri-jaya-terima-penarafan-pak-21-1.514927#ixzz505xZoYL3
© Utusan Melayu (M) Bhd