Sejarah Penubuhan
SMK Bandar Puteri Jaya telah dirancang pembinaannya pada tahun 2010. Sekolah ini mengandungi 30 bilik darjah. Terdiri darpada 5 blok utama iaitu Blok Pentadbiran, Blok Akademik, Blok Makmal, Blok Perpustakaan dan Blok Surau. Antara prasarana yang disediakan ialah padang bola, gelanggang bola keranjang, gelanggang badminton dan gelanggang sepak takraw. Kos pembinaan sekolah ini adalah sebanyak RM18 juta. Tujuan pembinaannya adalah untuk menampung keperluan pelajar dari Bandar Puteri Jaya, Bandar Sri Astana, Bandar Utama, Hillpark, Bandar Perdana, Kampung Serokam dan taman-taman sekitarnya.

Kementerian Pendidikan Malaysia telah meluluskan pembinaannya mulai 20 Januari 2011 dan dijangka siap pada 22 November 2012 di bawah nombor kontrak KP/BP/PEM/175/2010. Kontraktor yang menguruskan pembinaan sekolah ini ialah Mega Intervest Sendirian Berhad. Walau bagaimanapun, tarikh siap sepenuhnya adalah pada 17 Mac 2013 atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan. Pihak JPN Kedah dan PPD Kuala Muda/Yan telah merancang untuk memulakan sesi persekolahan sekolah ini pada 1 Januari 2015. Malangnya, atas beberapa sebab teknikal, sekolah ini beroperasi secara rasminya pada 1 Februari 2015.

Majlis penyerahan sekolah telah dilaksanakan pada 10 Disember 2014 di Bilik Mesyuarat SMK Bandar Puteri Jaya yang dihadiri oleh Pegawai KPM, JPN Kedah, PPD Kuala Muda Yan dan Caretaker.

Dua orang guru iaitu En. Mohemad Shas bin Abas, Penolong Panan HEM SMK Dato’ Bijaya Setia dan En. Md Saad bin Man, Penolong Kanan Kokurikulum SMK Pengkalan Lebai Man dilantik sebagai ’caretaker’ untuk menguruskan pembukaan sekolah.

Sekolah ini telah memulakan sesi persekolahan pada 01 Februari 2015 dengan bilangan pelajar seramai 733 orang, 19 buah kelas dan 43 orang guru yang diterajui oleh Tn Hj. Osman bin Omar selaku pengetua pertama sekolah ini.

Pada tahun 2016, dengan pertambahan pelajar seramai 1359 orang, dengan bimbingan guru seramai 91 orang , sekolah ini telahpun memulakan dua sesi persekolahan secara rasminya pada 28hb Mac 2016.

 

Peristiwa Penting

Pada tahun 2017, sekolah SMKBPJ telah dipilih menjadi sekolah transformasi TS25 & PAK21.

Pada Mac 2018, SMKBPJ telah dianugerahkan Sijil Kecemerlangan, Anugerah Lonjakan Saujana sempena keputusan SPM 2017. Lonjakan saujana merujuk kepada Pengurangan Gred Purata Sekolah yang banyak. SMKBPJ telah berjaya mencatat Pengurangan Gred Purata Sekolah dari 6.39 SPM tahun 2016 kepada 4.99 SPM tahun 2017, pengurangan sebanyak 1.40 dikategorikan sebagai Lonjakan Saujana.